ANNUAR (tengah) meninjau keadaan peniaga di kawasan Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
ANNUAR (tengah) meninjau keadaan peniaga di kawasan Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Faris Fuad


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mencari kaedah 'menang-menang' bagi menyelesaikan isu peniaga tanpa lesen di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketika ini, DBKL boleh mempertimbangkan untuk memindahkan peniaga terbabit ke satu lokasi khusus selaras dengan undang-undang ditetapkan.

"Isu ini perlu diberi perhatian. Rakyat mahu cari makan dengan berniaga, kita kena bantu, jangan susahkan mereka.

"Penguatkuasaan peraturan perlu lihat kebajikan rakyat. Kita risau bila mereka tak kerja (berhenti berniaga kerana tiada lesen) nanti ada pula yang mencuri, menyamun.

"Kita kena bantu, cari peluang yang ada. Kita tidak menidakkan usaha dan dasar dikuatkuasakan DBKL yang sudah melakukan kerja dengan baik. Dalam hal ini, sama-sama cari idea jaga rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa lebih 30 minit beramah mesra bersama peniaga terbabit di sekitar tasik berkenaan, hari ini.

Sebelum ini, tular video memaparkan peniaga membantah tindakan anggota penguat kuasa DBKL ketika melakukan operasi penguatkuasaan di Taman Tasik Titiwangsa, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pagi hari ini bagi membincangkan mengenai isu berbangkit.

"Namun, saya tetap turun padang ke sini kerana mahu mendengar maklum balas peniaga berkaitan.

"Saya tidak mahu hanya mendengar sebelah pihak, saya mahu gambaran sebenar apa yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 8:58 PM