RAKYAT Lubnan di lokasi bangunan yang rosak akibat letupan di pelabuhan Beirut. FOTO AFP
RAKYAT Lubnan di lokasi bangunan yang rosak akibat letupan di pelabuhan Beirut. FOTO AFP
Hayati Ibrahim


KEMENTERIAN LUAR sedang meneliti beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan untuk menyalurkan sumbangan kepada Pertubuhan Palang Merah Lubnan (LRC) bagi membantu rakyat negara itu susulan tragedi letupan di Pelabuhan Beirut, 4 Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, perkara itu akan dimuktamadkan dengan segera.

"Pada 8 Ogos lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM1 juta kepada Lubnan yang akan disalurkan menerusi LRC.

"Sementara, pada 10 Ogos lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah mengeluarkan surat kebenaran berbelanja kepada Kementerian Luar bagi bayaran sumbangan berkenaan kepada LRC," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) bertanya sama ada kerajaan mempunyai rancangan memberi bantuan kepada Lebanon selepas letupan bom di Beirut.

Menjawab soalan tambahan Kelvin mengenai ketelusan penyampaian bantuan kemanusian berkenaan, Mohd Redzuan berkata, Kementerian Luar diamanahkan untuk berurusan terus dengan LRC bagi menyampaikan sumbangan berkenaan.

"Jadi, kita akan dapat maklum balas daripada Kementerian Luar sama ada bantuan betul-betul sampai atau sebaliknya," katanya.

Berita berkaitan:

  • Bantuan RM1 juta untuk Lubnan
  • Lagi berita berkaitan Lubnan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 12:03 PM