MOHD Wazir Khalid ketika melakukan sitaan ke atas sebuah mesin jual air bertapis yang tidak berlesen sekitar daerah Seberang Perai Utara. FOTO Nur Izzati Mohamad
MOHD Wazir Khalid ketika melakukan sitaan ke atas sebuah mesin jual air bertapis yang tidak berlesen sekitar daerah Seberang Perai Utara. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


TIDAK berlesen serta meletakkan mesin menjual air bertapis di lokasi yang tidak bersesuaian yang boleh mendatangkan pencemaran mikrob dan kimia hingga ia menjejaskan kesihatan pengguna.

Itu antara kesalahan dikesan pemilik mesin air bertapis di sekitar Seberang Perai Utara dalam operasi dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) .

Dalam operasi disertai seramai 80 anggota penguat kuasa JKNPP dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sejumlah 86 mesin jual air bertapis bernilai RM557,000 disita untuk tindakan lanjut.

Sitaan dibuat berikutan mesin jualan air bertapis kebanyakannya dipasang di hadapan kedai runcit itu tidak berlesen selain mengabaikan faktor kebersihan dan kesihatan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd Wazir Khalid, berkata jumlah sitaan mesin jual air bertapis yang dilakukan tahun ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu yang merekodkan 46 mesin bernilai RM230,400.

"Kita tidak mempunyai data berhubung individu yang memohon lesen mesin jual air bertapis di negeri ini tetapi didapati jumlah mesin yang dipasang sangat banyak.

"Bahkan pada tahun lalu, didapati ada mesin jual air bertapis yang kita sudah sita pemiliknya masih lagi enggan tampil memohon lesen yang mana kita akan berbincang dengan pihak PBT sama ada boleh mengangkat mesin berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan operasi lesen ke atas Mesin Jual Air (MJA) sekitar daerah Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Tindakan penyitaan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 atas kesalahan di bawah Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Mohd Wazir berkata, pihaknya mengumpul maklumat dan menjalankan intipan sejak dua minggu lalu sebelum mengadakan operasi bersepadu.

"Lesen mesin jual air bertapis ini penting kerana ia membantu pihak kita melakukan pemantauan sekali gus pengguna terhindar dari minum air yang tercemar.

"Pemilik perlu memohon lesen berikutan Kementerian Kesihatan mahu memberi kesedaran supaya air diminum pengguna berkualiti dan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 12:35 PM