ABDUL Hamid ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara. FOTO Bernama
ABDUL Hamid ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebak ketika berucap mengumumkan persaraan Timbalannya, Datuk Mazlan Mansor.

Menyifatkan rakan baiknya itu sebagai tulang belakang dan antara yang penting dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Abdul Hamid tidak dapat menahan diri daripada mengalirkan air mata.

"Tak pernah pun satu malam saya tak boleh tidur, mungkin banyak isu yang tekan saya. Ini kerana saya tahu timbalan saya penuh pengalaman dan berkelayakan.

"Saya tahu beliau mampu terima segala cabaran sebelum ia datang kepada saya, beliau selesaikan," katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab PDRM, Cheras, hari ini.

Abdul Hamid berkata, beliau bersyukur dapat bergandingan dengan Mazlan ketika beliau diberi mandat menerajui untuk PDRM.

"Sejujurnya, berat hati ini untuk melepaskan beliau pergi kerana sepanjang tempoh lebih setahun, kami sama-sama memulakan langkah dengan nawaitu yang dipasak Lillahi Taala untuk memperkasakan lagi jentera dan mengembalikan kegemilangan PDRM agar kekal relevan serta dihormati.

"Dalam tempoh itu jua, segala suka duka, pahit manis serta jerih perih dikongsi dan diharungi bersama demi memastikan bahtera pelayaran pasukan yang dikemudi tidak tersasar dari haluan," katanya.

Ditanya perasaan sebaknya itu pada sesi sidang media, Abdul Hamid menjelaskan beliau tidak pernah berpisah dengan Mazlan sejak mengenali lelaki itu kira-kira 40 tahun lalu.

Beliau berkata, banyak tanggungjawab dikendalikan Mazlan dengan baik dan cemerlang, dia bersyukur memilikinya. "Sebab mengenangkan perkara itu saya tak dapat menahan kesedihan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa hari ini.

Berita berkaitan:

  • Acryl Sani dilantik pemangku Timbalan Ketua Polis Negara
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 12:36 PM