GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengubal Akta Jualan Langsung 1993 yang bakal diperkenalkan pada penghujung tahun 2021.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasanol Zam Zam Ahmad, berkata akta sedia ada itu sudah lama dan kali terakhir dipinda pada 2011.

Menurutnya, pindaaan itu akan dibincangkan secara kerjasama dengan pihak industri secara semak semula serta mengambil masa selama enam bulan termasuk melalui beberapa proses sebelum dibentang dan diluluskan di kabinet.

"Di bawah pindaan baru itu nanti, kementerian berharap ia akan memberi responsif, dinamik serta bersesuaian dengan kehendak semasa pihak industri pada masa ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Seisi Meja Bulat Bersama Persatuan Industri Jualan Langsung Malaysia (DSAM) dan Persatuan Edaran Terus Malaysia (MDDA) di Putrajaya hari ini.

Berdasarkan laporan Persatuan Penjualan Langsung Persekutuan Dunia (WFDSA), Malaysia menduduki tangga ke tujuh di dunia dengan nilai jualan tahunan sebanyak RM18.7 bilion dan kekal di tangga ke empat bagi rantau Asia Pasifik pada 2019.

Hasanol berkata kementerian akan terus memantau dan menguatkuasakan undang-undang industri jualan langsung dan sehingga Julai tahun ini sebanyak 423 permohonan lesen baharu diluluskan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 34 syarikat jualan langsung dibatalkan lesen kerana melanggar dan terbabit aktiviti Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti Piramid 1993 (AJLSAP 1993).

"Pada 2019, kementerian meletakkan sasaran hasil jualan sebanyak RM17 bilion dan berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM17.9 bilion."

"Berdasarkan statistik, kategori penjagaan kesihatan menyumbang jualan 47 peratus, penjagaan diri dan kosmetik 19 peratus, peralatan rumah 16 peratus, pakaian dan aksesori lima peratus, makanan dan minuman lapan peratus, penjagaan dan kelengkapan rumah tiga peratus dan buku, alat tulis serta mainan dua peratus."

"Industri jualan langsung memberi banyak peluang pekerjaan kepada 4 juta rakyat Malaysia dan ia didominasi 64 peratus oleh wanita manakala 36 peratus kaum lelaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 5:42 PM