Ekhwan Haque Fazlul Haque


PENIAGA burger, Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut selesai memberi keterangan di Bukit Aman, hari ini.

Asri selesai memberi keterangan 12.50 tengah hari tadi dan ditemani peguamnya Datuk Shaharudin Ali dan Ahmad Amzar Ahmad Azlan.

Shahrudin berkata, anak guamnya dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung pendedahan premis perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.

Katanya, keterangan juga diambil membabitkan kenyataan Asri behubung anggota tentera dan polis tidak menjaga solat seperti yang tular di laman sosial.

"Kami memberi kerjasama yang baik kepada polis dan penjelasan lanjut mengenai pendedahan premis judi dan rokok seludup.

"Keterangan juga membabitkan kenyataan Asri berhubung anggota tentera dan polis tidak solat," katanya ketika ditemui di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, Asri akan dipanggil sekali lagi 3 petang ini di Bukit Aman untuk memberikan keterangan membabitkan isu sama.

Terdahulu, pengasas Hot Burger itu dipanggil memberi keterangan kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pagi tadi.

Asri disiasat mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

KUALA LUMPUR 14 OGOS 2020. Pengasas Hot Burger Asri Janggut hadir di Bukit Aman dipanggil untuk dirakam keterangan. NSTP/ASWADI ALIAS.
KUALA LUMPUR 14 OGOS 2020. Pengasas Hot Burger Asri Janggut hadir di Bukit Aman dipanggil untuk dirakam keterangan. NSTP/ASWADI ALIAS.

Peniaga burger itu sebelum ini membuat pendedahan mengenai kegiatan premis perjudian yang didakwa dilindungi penguat kuasa.

Bagaimanapun, dia sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas mendakwa anggota tentera dan polis tidak menjaga solat dalam satu temu bual secara langsung di Facebook beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 1:54 PM