X
Keadaan kepala mangsa, Shahril Zaily Ab Karim yang cedera terkena atap rumah selepas kediamannya. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Keadaan kepala mangsa, Shahril Zaily Ab Karim yang cedera terkena atap rumah selepas kediamannya. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Oleh Mohd Khidir Zakaria


SEORANG guru cedera di kepala apabila ditimpa atap rumah ketika tidur selepas kediamannya di Taman PD Damai di sini, dilanda ribut awal pagi tadi.

Selain Shahril Zaily Ab Karim, 44, isterinya, Nurul Fadilah Ikhram, 35, cedera ringan di kaki dan anak mereka, Muhamad Adeeb Shahril, sembilan bulan, cedera sedikit di kepala ditimpa atap rumah terbabit jam 3 pagi.

Menurut Nurul Fadilah, kira-kira sejam sebelum itu, dia bangun untuk menyusukan anak sebelum menyambung tidur.

"Kira-kira jam 3 pagi, saya terjaga akibat bunyi kuat objek terjatuh.

"Suami tiba-tiba terus menyelamatkan anak, saya kemudiannya mendapati kepala suami cedera terkena serpihan atap terbabit," katanya ditemui di rumahnya.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson yang tiba tidak lama kemudian membawa suaminya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat ke Hospital Port Dickson untuk rawatan.

"Syukur kami semua selamat, hanya cedera ringan saja," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Pegawai Bomba Kanan 11 Zainuddin Ahmad berkata, bumbung lapan rumah rosak akibat bencana terbabit.

"Dua rumah turut rosak teruk manakala tiga mangsa cedera.

"Kami kemudiannya menghantar mangsa ke hospital untuk rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 2:43 PM