MICHAEL Tay Chee Boon (tengah) bersama pasukannya pada sesi sidang media program MCA Pandemic Task Force di pejabat MCA, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
MICHAEL Tay Chee Boon (tengah) bersama pasukannya pada sesi sidang media program MCA Pandemic Task Force di pejabat MCA, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina

MCA dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan program MCA Pandemic Task Force bagi membantu masyarakat terutama yang terjejas susulan pandemik Covid-19 bagi memperoleh peluang pekerjaan.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, inisiatif bersama Persatuan Perniagaan India Johor (JIBA) dan Persatuan Penggerak Pengguna Johor itu susulan terdapat kira-kira 1,030 aduan yang diterima berhubung masalah berkaitan terkesan dengan pandemik, sejak Mac lalu.

Katanya, kebergantungan hanya satu pekerjaan misalannya bekerja di Singapura akan membawa kepada isu lain termasuk masalah psikologi dan sosial apabila wabak itu berpanjangan sehingga membawa kepada hilang punca pendapatan.

"Sehubungan itu, program MCA Pandemic Task Force ini akan menjadi platform bagi menyelaras dan memantau penyediaan peluang padanan pekerjaan, di samping membantu golongan sasaran.

"Kita menyasar menerima lebih daripada 1,000 permohonan menerusi platform ini bagi tempoh tiga hingga enam bulan pertama, pada masa sama menggalakkan majikan untuk turut sama membuka peluang pekerjaan.

"Menerusi permohonan itu, peluang latihan turut ditawarkan bagi mereka yang mahu meneroka bidang baharu antaranya perkhidmatan, kesihatan, industri kecil dan sederhana serta teknologi maklumat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Johor Bharu, hari ini.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenainya layari laman sosial Facebook Pandemic Task Force atau kunjungi pejabat JIBA dan borang padanan kerja yang sudah dilengkapkan boleh emel di [email protected] atau WhatsApp pada nombor 017-201 8982.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 3:40 PM