Nor Farhani Che Ad


LELAKI maut selepas dipercayai terkena mata mesin pencanai di sebuah rumah di Taman Kristal, Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa, Mohd Zainon Idris, 35, ditemui pemilik rumah yang juga rakannya dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di bilik belakang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa dikatakan menumpang di rumah rakannya itu sejak tiga minggu lalu.

"Sebelum kejadian, rakan mangsa dikatakan sedang tidur di ruang tamu, namun dia terkejut selepas mendengar bunyi mesin pencanai.

"Tidak lama kemudian, bunyi mesin pencanai itu dikatakan terhenti seperti terkena sesuatu yang mengakibatkan bekalan elektrik di rumah rakannya itu terputus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, berikutan itu, rakan mangsa membuat pemeriksaan di seluruh rumah sebelum menjumpai mangsa dalam keadaan berlumuran darah berdekatan sebuah mesin pencanai.

Beliau berkata, rakan mangsa segera menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu.

ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa yang maut dipercayai terkena mata mesin pencanai di Taman Kristal. FOTO Nor Farhani Che Ad
ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa yang maut dipercayai terkena mata mesin pencanai di Taman Kristal. FOTO Nor Farhani Che Ad

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang tiba di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat serpihan mata mesin pencanai yang pecah.

"Mangsa dipercayai cuba untuk mematikan suis, tetapi tergelincir jatuh kira-kira lima meter dari tempat mesin pencanai berada.

"Terdapat kesan luka pada pangkal leher sebelah kanan mangsa dan tidak terdapat unsur jenayah dikesan dalam kejadian ini.

"Jiran mangsa juga tidak mendengar pergaduhan atau pergelutan berlaku dalam kejadian itu sebelum mayat ditemui," katanya.

Beliau berkata, difahamkan, mangsa adalah seorang yang tiada tempat tinggal tetap sebelum ini, rakannya itu mengajak dia untuk tumpang tinggal di rumahnya.

Katanya, mayat dibawa ke HSAH untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:48 PM