ANGGOTA bomba mengangkat mangsa maut selepas dilanggar treler di bawah jambatan di Kilometer (KM) 46.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara. FOTO Ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengangkat mangsa maut selepas dilanggar treler di bawah jambatan di Kilometer (KM) 46.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara. FOTO Ihsan bomba
Adnan Ibrahim

SEORANG penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya parah selepas dilanggar treler di bawah jambatan di Kilometer (KM) 46.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, pagi tadi.

Mangsa Syafirul Asyarie Norhaidi, 18, yang menunggang motosikal jenis Honda Dash maut di lokasi kejadian manakala pembonceng, Muhammad Amirul Kamarudin, 18, parah.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian kira-kira 9.50 pagi itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Simpang Renggam sebelum cuba berhenti di bawah jambatan.

"Hasil siasatan awal, motosikal dipercayai cuba berhenti berteduh di bawah jambatan tetapi terlepas dan terbabas ke sebelah kanan kerana keadaan jalan basah.

"Akibatnya treler yang datang dari arah belakang melanggar mangsa serta motosikalnya menyebabkannya mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

" Pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah dirujuk ke Hospital Kulai untuk rawatan selanjutnya. Manakala pemandu trailer berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya melalui kenyataan kepada media.

Menurut Beng Yeow, mayat mangsa turut dirujuk ke bahagian forensik hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, seramai sembilan anggota bomba dan sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Renggam diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Norhisham Ikhwan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 8:00 PM