GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ANGGOTA polis cedera di kening kiri selepas dipukul sekumpulan lelaki dipercayai akibat salah faham di sebuah stesen minyak di Sri Rampai, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi itu, mangsa berusia 20-an sedang melakukan tugasan Ops Rentap Khas sebelum motosikal ditunggangi kehabisan minyak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan Ahmad Osman berkata, mangsa pergi ke sebuah stesen minyak sebelum berhenti di salah satu pam di situ.

"Anggota polis tidak menyedari terdapat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berada di belakang sedang menunggu giliran mengisi di pam berkenaan.

"Akibat itu, pemandu MPV terbabit berasa tidak puas hati hingga berlaku pertengkaran mulut dengan mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pertengkaran itu menyebabkan beberapa rakan suspek yang berada di dalam MPV dan sebuah kereta Mercedes Benz yang berada di lokasi meluru ke arah mangsa.

"Mangsa dipukul oleh dua lelaki daripada kumpulan terbabit sebelum cuba dilerai oleh rakan suspek lain.

"Mangsa yang dibawa ke klinik berhampiran menerima lima jahitan di kening kiri," katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat, pihak polis menahan 10 lelaki berusia 22 hingga 44 tahun di sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bharu.

"Semua suspek direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 9:06 PM