Ekhwan Haque Fazlul Haque


KERAJAAN Selangor sedang mengenal pasti tapak bersesuaian untuk diwartakan sebagai kompleks arked niaga yang bakal menjadi lokasi perniagaan terbaru peniaga dan penjaja di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, kompleks arked niaga itu kelak akan menyelesaikan masalah peniaga dan penjaja di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh yang kini masih menjalankan perniagaan di bahu jalan.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor berkata, beberapa lokasi sudah dikenal pasti namun kesesuaiannya masih di peringkat kajian sebelum diwartakan bagi membolehkan pembangunan dilakukan di atas tanah yang dipilih.

"Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ada cadangkan beberapa lokasi dan kita akan tanya kesesuaian lokasi. Kompleks arked niaga berkenaan boleh menempatkan lebih 200 peniaga apabila siap kelak.

"Kami jangka kompleks arked niaga itu akan siap dibina dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan memberi kemudahan kepada peniaga sekitar Sungai Buloh," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh-MBSA, di Bandar Baru Sungai Buloh, hari ini.

Dalam program berkenaan, lebih 100 peniaga dan penjaja hadir untuk berdialog bersama Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim dan Khairuddin bagi mencari jalan penyelesaian berhubung masalah penjaja tidak berlesen di sekitar Sungai Buloh.

Menerusi program sama juga, MBSA membuka kaunter pendaftaran permit sementara kepada peniaga dan penjaja bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan untuk sementara waktu selain penerangan daripada beberapa jabatan di bawah pentadbiran MBSA.

Sementara itu, peniaga air balang dan buah, Abdul Razak Sudin, 55, berkata, prosedur permohonan lesen penjaja perlu dipermudahkan MBSA tanpa membabitkan pelbagai bayaran yang membebankan peniaga.

ANTARA peniaga dan penjaja yang mendengar penerangan daripada pegawai MBSA. FOTO Asyraf Hamzah.
ANTARA peniaga dan penjaja yang mendengar penerangan daripada pegawai MBSA. FOTO Asyraf Hamzah.

"Saya sudah berniaga sejak tujuh tahun lalu dan dalam tempoh sama beberapa kali permohonan saya ditolak kerana prosedur dikenakan agak rumit sehingga menyukarkan peniaga kecil mendapat lesen.

"Kami harap ini mendapat perhatian MBSA dan kerajaan negeri kerana majoriti peniaga hanya 'cukup-cukup makan' saja pendapatan harian hasil perniagaan namun jika gerai disaman sudah pasti ia membebankan.

"Jika prosedur dipermudahkan sudah pasti ramai peniaga akan patuh dan tiada alasan untuk kami tidak memohon lesen perniagaan," katanya ketika

ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 1:27 PM