MAN Gerek menunjukkan buku ‘Kembara Masjid di Jepun (KEMAJ) mengisahkan mengenai pengalaman dan cabarannya ketika berada di bumi matahari terbit. FOTO  Nur Izzati Mohamad
MAN Gerek menunjukkan buku ‘Kembara Masjid di Jepun (KEMAJ) mengisahkan mengenai pengalaman dan cabarannya ketika berada di bumi matahari terbit. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad

'MAN Gerek' yang pernah mencetuskan fenomena melalui kayuhan solonya mengembara untuk mengunjungi masjid di Jepun membukukan pengalaman dan cabaran dilalui itu demi berkongsi ilmu dengan masyarakat.

Man Gerek atau nama sebenarnya Suliman Abd Lah, 50, berkata, susulan kejayaan Kembara Menuju Lambaian Kaabah 2018, dia berharap buku yang dilancarkannya mampu membuka mata masyarakat Islam untuk mengembara ke Jepun sekali gus melihat pembangunan masjid di negara matahari terbit itu.

Katanya yang juga penolong pengurus sebuah syarikat konsesi lebuh raya, dia mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan buku berkenaan.

"Segala pengalaman dan cabaran saya berkayuh sejauh 1,600 kilometer yang mengambil masa 19 hari turut dimuatkan dalam buku ini.

"Terlalu banyak pengajaran dan tips diperoleh saya sepanjang mengembara ke Jepun, alam semula jadinya juga begitu indah untuk diteroka," katanya selepas majlis pelancaran buku Kembara Masjid di Jepun (KEMAJ) di Bertam di Kepala Batas, semalam.

Katanya, sepanjang berada di Jepun, dia mengunjungi 21 masjid dan mengetahui permasalahan yang melanda.

Oleh itu, Suliman berharap semoga orang ramai dapat menyumbang seterusnya memperkasakan institusi masjid di negara itu.

"Secara keseluruhannya, ada 106 masjid namun saya hanya sempat melawat 21 sahaja memandangkan lokasi antara satu masjid ke satu masjid sangat jauh.

"Jepun bukan dalam senarai negara Islam tetapi siapa sangka, banyak masjid dibina di sana dan paling menakjubkan, agama Islam perlahan-lahan mula diterima sekali gus menangkis pandangan tidak baik terhadap masyarakat Islam," katanya.

Menurut Suliman, faktor cuaca sejuk dan angin kuat antara halangan perlu ditempuh ditambah pula dia membawa muatan barangan seberat 23 kilogram.

"Alhamdulillah, semuanya dapat ditempuhi dan mudah apatah lagi saya boleh berbahasa Jepun, maka urusan saya banyak dibantu penduduk tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 5:33 PM