PATI Indonesia yang ditahan Briged Ketiga Infantri Malaysia. FOTO ihsan TDM
PATI Indonesia yang ditahan Briged Ketiga Infantri Malaysia. FOTO ihsan TDM
Muhaamad Hafis Nawawi


CUBAAN empat lelaki dan dua wanita pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia menaiki tiga motosikal untuk keluar ke sempadan melalui lorong tikus gagal apabila ditahan Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged) oleh Pasukan Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) hari ini.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, sepasukan anggota 10 RRD sedang menjalankan rondaan keselamatan di kawasan ladang kelapa sawit Tetangga Akrab iaitu berjarak 5.2 kilometer dari sempadan Malaysia dan Indonesia terlihat suspek.

Menurutnya, selepas ditahan dan diperiksa, semua warga Indonesia itu tidak mempunyai Pas Lintas Batas dan ingin pulang ke Indonesia melalui laluan yang tidak sah.

"Insiden penahanan berkenaan dilaporkan kepada Pegawai Memerintah 10 RRD, Leftenan Kolonel Rashidi Ghazali sebelum semua mereka termasuk barangan seperti motosikal, sekampit beras 30 kilogram dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM14,550 dibawa ke Balai Polis Serian untuk tindakan selanjutnya.

"Dua kes cubaan keluar ke sempadan melalui lorong tikus di lokasi sama dalam minggu ini menunjukkan kawasan ladang kelapa sawit Tetangga Akrab ini dijadikan laluan pilihan kepada Pati.

"Namun, hasil kerjasama pihak pengurusan ladang dan warga tempatan yang memberi maklumat, Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya mengekang jenayah rentas sempadan di kawasan terbabit," katanya.

Katanya, pihak TDM sentiasa komited, fokus dan mempunyai tahap kesiagaan yang tinggi serta berupaya menganalisa persekitaran dalam mengawal sempadan negara dari sebarang pencerobohan dan penyusupan pada bila-bila masa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 10:55 PM