DATUK Seri Ismail Sabri (dua kanan) yang juga Ahli Parlimen Bera bersama Calon Barisan Mohd Zaini Aziz berkempen ketika mengadakan lawatan sempena PRK Slim, di Tapak Pasar Pagi di Pekan Slim River. FOTO Sharul Hafiz Zam
DATUK Seri Ismail Sabri (dua kanan) yang juga Ahli Parlimen Bera bersama Calon Barisan Mohd Zaini Aziz berkempen ketika mengadakan lawatan sempena PRK Slim, di Tapak Pasar Pagi di Pekan Slim River. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noor Hidayah Tanzizi


ORANG ramai tidak perlu terlalu bimbang dengan mutasi jenis D614G yang dikesan daripada pengasingan kultur virus Covid-19 untuk tiga kes daripada Kluster PUI Sivagangga (kontak rapat kepada kes indeks) kerana ia sudah dapat dikawal, namun masih tetap perlu berhati-hati.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, virus itu dapat dikawal daripada merebak hasil pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Kedah dan Perlis.

"Selepas pelaksanaannya di tiga kampung di Kedah dan dua di Perlis, saya dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan bahawa virus yang dibawa daripada Kluster Sivagangga itu sudah dapat dikawal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program santai melukis mural dan mengadakan lawatan sempena PRK Dun Slim bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz di Pasar Slim River Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Slim, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, semua individu termasuk penyokong dan barisan jentera pilihan raya yang terbabit Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, dalam memastikan calon BN berjaya mengekalkan kerusi Dun Slim, keselamatan dan kesihatan perlu diutamakan.

"Saya faham kita mahu berkerja untuk memastikan calon kita menang tetapi dalam masa sama perlu menjaga kesihatan dan keselamatan.

"Perlu memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Saya tidak mahu ada tindakan dikenakan di sini dan perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan," katanya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 1:44 PM