KOTAK fius yang terbakar. FOTO ihsan bomba
KOTAK fius yang terbakar. FOTO ihsan bomba
Nur Izzati Mohamad


WANITA Indonesia patah pergelangan kaki selepas terjun dari tingkat satu bangunan asrama didiaminya dekat Taman Pelangi, Butterworth, tengah malam tadi, selepas berlaku kebakaran pada kotak fius di ruangan tangga flat berkenaan.

Mangsa dikenali Dwi Nilam Cahya Ginting berusia lingkungan 20-an terjun kerana mahu menyelamatkan dirinya akibat panik dengan kebakaran itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 12.17 tengah malam.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai ke lokasi untuk operasi memadamkan kebakaran terbabit.

"Ketika tiba didapati seorang wanita mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri akibat terjun dari tingkat satu asrama kerana panik selepas ternampak kebakaran pada kotak fius.

"Kebakaran itu dipadamkan orang awam sebelum anggota bomba tiba dan mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dengan van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota bomba juga menjalankan pemeriksaan ke atas bangunan berkenaan bagi memastikan tiada risiko lain sebelum menamatkan operasi pada 12.53 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 11:15 AM