ANTARA warga asing yang diperiksa dalam operasi itu. FOTO Ihsan JIM
ANTARA warga asing yang diperiksa dalam operasi itu. FOTO Ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan berasingan di rumah kediaman, pondok pengawal di kawasan Kota Damansara dan rumah pekerja di Klang, Selangor, tengah malam tadi.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, seramai 18 pegawai dan anggotanya menjalankan operasi itu yang bermula 11 malam tadi hingga 5 pagi hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, segelintir Pati nyenyak tidur dan beberapa pintu rumah terpaksa dipecahkan kerana mereka enggan membuka pintu.

"Malah, kehadiran anggota penguat kuasa yang memakai kelengkapan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi operasi juga mengejutkan mereka.

"Hasil pemeriksaan terhadap 30 warga asing, kami menahan 19 lelaki berusia antara 22 hingga 50 tahun yang berasal dari Indonesia, Bangladesh, India dan Nepal atas pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, semua Pati yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Selangor bagi siasatan lanjut dan akan direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih.

"Antara kesalahan yang dikesan dilakukan mereka adalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

"Kami juga akan turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan majikan atau pelindung Pati ini," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu, semua pegawai dan anggota operasi mematuhi SOP keselamatan ditetapkan JIM bagi mengelak jangkitan Covid-19 ketika melakukan pemeriksaan.

"Semua Pati yang ditahan juga dibawa ke klinik kesihatan bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di depot tahanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 5:49 PM