MOHD Khairuddin Aman Razali. FOTO Ghazali Kori
MOHD Khairuddin Aman Razali. FOTO Ghazali Kori
Raja Noraina Raja Rahim


MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dikompaun selepas ingkar kuarantin memulangkan gaji selama empat bulan bertugas.

Dr Mohd Khairuddin dalam kenyataan hari ini berkata, beliau mengambil tindakan itu sebagai rasa tanggungjawab.

"Saya dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai menteri untuk Mei hingga Ogos sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Gaji Mac dan April juga disumbangkan ke tabung berkenaan sebagaimana keputusan Kabinet sebelum ini," katanya.

Beliau turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kesilapannya itu.

"Saya dengan ini memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku.

"Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Katanya, beliau akan akan terus bekerja keras dan melipat ganda usaha serta tenaga untuk melaksanakan amanah bagi membela rakyat terutama pekebun kecil bawah 40 (B40).

Terdahulu, Mohd Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 oleh KKM kerana didapati gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

KKM dalam kenyataan memaklumkan, Mohd Khairuddin pulang dari Turki pada 7 Julai lalu dan sampel calitan pertama yang diambil sebaik tiba di negara ini adalah negatif.

Berita berkaitan:

  • Menteri dah kena kompaun: KKM
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 5:53 PM