Mohd Merdeka yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957. FOTO BERNAMA
Mohd Merdeka yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957. FOTO BERNAMA
BERNAMA

KALAU nak makan percuma, sebut nama tiga kali, demikian kelebihan seorang nelayan di Penaga, Kepala Batas, yang bernama Mohd Merdeka Ismail.

Sejak kecil, Mohd Merdeka yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957, berasa malu dengan namanya dan sering diejek kawan sekolah, namun berbeza pula tahun ini kerana sebuah kedai kopi di Kampung Simpang Tiga, Penaga memberikan keistimewaan khas kepada beliau.

Beliau berkata, minggu lalu, pemilik kedai kopi itu memberitahu beliau boleh makan dan minum secara percuma di kedainya pada bulan ini dengan hanya menyebut namanya sebanyak tiga kali.

"Mula-mula saya ingat pemilik kedai kopi itu hanya bergurau, tetapi selepas saya menyebut Merdeka, Merdeka, Merdeka...pemilik kedai itu pun minta saya 'order' apa sahaja, beliau akan belanja," katanya kepada Bernama.

Mohd Merdeka berkata, itu bukan satu-satunya perkara istimewa pernah berlaku pada dirinya, malah disebabkan namanya itu, beliau berpeluang menjejakkan kaki ke Istana Negara, Kuala Lumpur apabila dijemput Yang di-Pertuan Agong ke-13 Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 2007 melalui Himpunan Anak-Anak Merdeka di seluruh negara.

Mengimbas kembali kenangan manis bergelar anak merdeka ditambah lagi mengabadikan perkataan merdeka pada namanya, Mohd Merdeka berkata, namanya diberikan bidan kampung yang menyambut kelahirannya pada 7 pagi di Tasek Gelugor itu menyebabkan beliau kerap mendapat habuan istimewa.

"Ramai tidak tahu nama ini menjadikan saya seperti seorang terkenal umpama selebriti dalam kalangan penduduk kampung dan pernah beberapa kali dijemput untuk hadir ke majlis sambutan ambang kemerdekaan," katanya.

Bapa kepada seorang anak perempuan itu berkata, nama itu membuatkan semangat cintakan negara menjadi lebih utuh dan berharap keharmonian dicapai dapat dirasai sampai bila-bila.

"Nama ini telah mengingatkan saya dan semua rakyat bahawa negara bebas daripada penjajah dan kita harus mengekalkan keharmonian negara dan semangat cintakan negara.

"Anak saya, Izzatul Nabila, 24, pada mula berasa malu dengan nama saya yang dianggap pelik oleh kawan sekolah dan sering dijadikan topik gurauan.

"Namun setelah sekian lama, dia kini lebih berasa bangga dengan nama itu daripada malu, kerana ayahnya memiliki nama serupa dengan hari kemerdekaan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 4:06 PM