BIDIN memasang 200 Jalur Gemilang pelbagai saiz di halaman kediamannya di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
BIDIN memasang 200 Jalur Gemilang pelbagai saiz di halaman kediamannya di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


MEMORI sepinggan mi goreng berharga 10 sen dan sepinggan nasi yang hanya bernilai 20 sen tetap segar dalam ingatan Bidin Md Yassin, 74, ketika meniti zaman kanak-kanak sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Ketika bersekolah daripada darjah satu hingga darjah enam di Sekolah Kebangsaan Othman Shawal, Kuala Sungai Baru di Alor Gajah, itu harga makanan ketika itu.

Mengimbas kembali memori Bapa Kemerdekaan negara, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan slogan merdeka, Bidin masih ingat penduduk lelaki di kampungnya akan melaungkan slogan merdeka di setiap pelosok kampung.

"Waktu itu kehidupan sangat susah kerana tiada banyak peluang pekerjaan seperti sekarang dan kalau ada 20 sen, itu sudah cukup besar bagi saya kerana dengan wang sebanyak itu saya sudah mampu mendapat sepinggan nasi dengan lauk.

"Pada 1965 saya berhijrah ke Sungai Besi, Kuala Lumpur dan bekerja di stesen minyak selama beberapa tahun dengan gaji RM45 sebulan sebelum bekerja sebagai pelayan di Maktab Tentera Diraja (MTD) hingga bersara," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru hari ini.

Berdasarkan pengalaman pahit menjalani kehidupan itulah, Bidin menghargai nilai kemerdekaan negara yang baginya, tidak mampu dinilai dengan wang ringgit, terutama jika dibandingkan dengan pelbagai kemajuan dicapai negara sekarang.

"Kalau ditanya kepada belia hari ini apakah nilai kemerdekaan, saya yakin ramai yang sekadar mampu menyatakan merdeka ialah bebas daripada penjajah.

"Namun bagi saya sendiri yang pernah menempuh hidup sebelum merdeka, ketika baharu merdeka dan selepas sekian lama merdeka, sudah tentulah nilai kemerdekaan itu tinggi nilainya," katanya.

Bagi mempamerkan semangat cinta dan kasih terhadap negara, Bidin akan memasang kira-kira 200 Jalur Gemilang pelbagai saiz di halaman kediamannya.

Meskipun terpaksa menghabiskan tidak kurang daripada RM300 untuk mendapatkan Jalur Gemilang pelbagai saiz, bapa kepada tiga anak yang hidup berseorangan selepas kematian isteri lima tahun lalu itu tidak pernah merungut.

"Sebaliknya saya rasa bangga dengan Jalur Gemilang yang berkibar megah di halaman rumah. Ia kerap menjadi tumpuan mereka yang lalu lalang untuk merakamkan gambar kenangan.

"Biarlah kibaran Jalur Gemilang itu dapat dilihat dari jauh oleh sesiapa sahaja yang melalui jalan berkenaan dan sedikit sebanyak mereka pasti akan turut berbangga dengan bendera kebangsaan sebagai simbol kedaulatan negara, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 6:00 PM