GAMBAR kenangan Musyrif Hakimi (tengah) bersama ibu dan bapanya yang dimuat naik di FB  Musaffendy. FOTO Ihsan FB Musaffendy.
GAMBAR kenangan Musyrif Hakimi (tengah) bersama ibu dan bapanya yang dimuat naik di FB Musaffendy. FOTO Ihsan FB Musaffendy.
Omar Ahmad


"ARWAH anak paling bongsu dan sangat manja dengan saya, dia seorang yang aktif bersukan dan ceria"

Itu luahan Musaffendy Mustapha, 52, bapa kepada Musyrif Hakimi, 9, yang maut akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang menyertai satu pertandingan sukan, di Taman Impian Emas, Johor Bahru, kelmarin.

Musaffendy berkata, ketika kejadian anaknya sedang membersihkan diri dan membuka kasut bola yang dipakai sebelum merasa panas dan rebah.

"Dia memang anak yang peramah, mesra, baik dan seorang kanak-kanak yang aktif bersukan, termasuk bola sepak, setiap hujung minggu akan bermain di padang bersama rakan-rakan.

"Sebagai seorang Islam, saya reda dengan pemergiannya. Saya tidak nampak tanda-tanda awal perubahan pada diri arwah.

"Arwah sentiasa ceria, malah saya sempat memuat naik gambar bersama arwah pada pagi sebelum kejadian," katanya ketika dihubungi di Johor Bahru, hari ini.

Ketika ditanya tindakan lanjut yang mungkin diambil, Musaffendy berkata, pihaknya tidak mahu memberikan sebarang komen berkenaan punca kejadian serta tindakan lanjut yang akan diambil.

"Maaf, saya tidak mahu memberi sebarang komen tentang itu. Ramai yang bertanya tetapi buat masa ini, jawapannya no komen.

"Jenazah anak saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Impian Emas, Skudai pada 2 petang, semalam," katanya arwah adalah anak bongsu dari lima beradik.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad mengesahkan kejadian yang dilaporkan berlaku pada 2.45 petang.

Mangsa dilaporkan menyertai aktiviti sempena bulan kemerdekaan anjuran sebuah agensi kerajaan di padang bola Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru.

Berita berkaitan

'Kanak-kanak maut kena renjatan elektrik di padang bola'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 9:31 AM