Fakhrul menamatkan kayuhan sejauh 2,020 kilometer. FOTO BERNAMA
Fakhrul menamatkan kayuhan sejauh 2,020 kilometer. FOTO BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman


BERJAYA menamatkan misi kayuhan basikal secara solo sejauh 2,400 kilometer serta melawat 105 balai bomba dan penyelamat di seluruh Semenanjung Malaysia melalui misi amal 'Mencari Hati Emas'.

Ternyata usaha anggota bomba, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 38, melakukan misi kayuhan berkenaan melebihi sasaran awal ditetapkan membabitkan jarak 2,020 kilometer serta lawatan ke 63 balai.

Menurutnya, 63 balai bomba dilawati itu adalah simbolik 63 tahun negara ini menyambut Hari Kemerdekaan.

Katanya, menerusi kayuhan solo berkenaan, beliau berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM27,144 bagi membantu keluarga anggota bomba yang kemalangan ketika sedang melaksanakan tugas.

"Syukur akhirnya saya berjaya menamatkan misi julung kali yang diadakan ini, malah jumlah kayuhan serta balai bomba juga melebihi sasaran ditetapkan.

"Kesemua wang yang disumbangkan itu akan diserahkan kepada pengurusan tertinggi jabatan bagi menguruskan wang itu serta disalurkan kepada anggota dan pegawai bomba yang memerlukan," katanya selepas menamatkan misinya semasa Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)

di Putrajaya tadi.

Mohd Fakhrul yang juga Jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah itu berkata, dia sangat terharu apabila mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan setiap kali melawat balai bomba.

"Sokongan yang diberikan oleh anggota bomba di setiap balai terbabit amat tinggi serta ada juga penduduk yang terkejut dengan misi yang dilakukan saya itu.

"Saya bukan sahaja melawat balai bomba, tetapi turut membuat lawatan di balai bomba yang terletak di lapangan terbang serta balai bomba sukarela.

"Bagaimanapun saya terpaksa batalkan niat untuk melawat balai bomba di Kedah dan Perlis memandangkan mereka kini berhadapan dengan kes Covid-19 yang tinggi," katanya.

Ketika ditanya apakah inspirasinya untuk menjalankan kayuhan solo berkenaan, Mohd Fakhrul berkata ia bermula apabila melihat kisah rakan bomba yang kemalangan ketika sedang menjalankan tugas.

"Ini termasuk kes enam anggota bomba yang meninggal dunia di lombong ketika menyelamatkan mangsa serta kisah arwah Adib.

"Ia menggerakkan hati saya untuk mewujudkan tabung amal yang dapat membantu rakan bomba lain," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fakhrul berkata beliau kini sedang mempersiapkan diri serta mengadakan latihan untuk misi amal seterusnya untuk menakluk Gunung Everest serta menakluk tujuh gunung di tujuh benua.

"Saya turut merancang untuk mengadakan program larian amal.

"Buat masa ini ia akan diadakan secara solo, bagaimanapun jika ada anggota dan pegawai bomba yang berminat serta tiada kekangan kewangan, saya tidak ada masalah untuk melaksanakan misi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 4:38 PM