X
HASNI. FOTO Arkib NSTP
HASNI. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Tindak tanduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, Datuk Osman Sapian tidak mengubah kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor kerana masih memiliki majoriti mudah 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang makluman rasmi sama ada keahlian bekas Menteri Besar itu dilucutkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau tidak.

"Kerajaan PN Johor ditubuhkan menerusi kerjasama antara parti dan bukannya berdasarkan individu.

"Ia ditubuhkan menerusi kerjasama beberapa pihak antaranya Barisan Nasional (BN), BERSATU dan PAS.

"Sebagai ketua kerajaan negeri saya tidak menerima sebarang makluman tentang pelucutan keahlian mana-mana ADUN. Maka saya anggap 29 ADUN PN masih lagi kekal dan tiada yang berubah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Memeterai Perjanjian Pembangunan Hartanah di antara Iskandar Waterfront Holdings dan Metallurgical Corporation of China Bhd di Johor Bahru, hari ini.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan ketika ini PN menguasai 29 kerusi dan pembangkang, 27 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki UMNO, BERSATU (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor berkata, sebarang keputusan untuk membubarkan DUN Johor tertakluk kepada budi bicara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

"Jika DUN Johor tergantung kerana Menteri Besar tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN, saya boleh menasihati Tuanku untuk membubarkan DUN.

"Sama ada bubar atau tidak, itu terpulang kepada Sultan Johor," katanya.

Jumaat lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dilaporkan berkata, ADUN Kempas itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk menjelaskan tindakannya berkempen untuk calon Bebas ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, baru-baru ini.

Pada PRK DUN Slim, Osman yang juga Ketua Bahagian BERSATU Ayer Hitam, didakwa turun berkempen membantu calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dakwaan itu berikutan penularan video memaparkan Osman dipercayai sedang berucap dalam kempen calon Bebas berkenaan di Slim.

Bagaimanapun, Osman mendakwa kehadirannya ketika itu sekadar bertemu rakan lama dan tiada kaitan dengan politik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 3:44 PM