Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Cheras: Kertas siasatan berhubung kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali melanggar arahan kuarantin wajib, dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, saksi terakhir bagi membantu siasatan kes sudah direkod keterangan semalam.

"Mungkin esok kita serahkan kertas siasatan itu kepada AGC. Mereka akan meniliti bukti dan kenyataan sedia ada dalam fail siasatan.

"Lebih 10 saksi sudah dirakam keterangan. Saksi terakhir bagi kenyataan pada semalam," katanya pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Empat Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.

ABDUL Hamid Bador. FOTO arkib NSTP
ABDUL Hamid Bador. FOTO arkib NSTP

Mengulas siasatan keatas Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan selepas laporan polis diterima.

"Polis sudah menerima laporan, kertas siasatan juga sudah dibukan dan keterangan saksi kini dijalankan.

"Kami kini menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan medium yang digunakan untuk menularkan video berkenaan,"katanya.

Ogos lalu tiga ahli DAP Sarawak membuat laporan polis terhadap Muhammad Zawawi berhubung isu kenyataannya berkenaan kitab Injil.

Laporan itu dibuat oleh Brolin Nicholson yang juga pembantu khas kepada pengerusi DAP Sarawak, Anggota Parlimen Stampin, Julian Tan dan anggota pemuda DAP negeri, Anthony Chin di Balai Polis Sekama di Kuching, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 11:47 AM