TAMBAK Johor
TAMBAK Johor
Mohamed Farid Noh & Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Sempadan Johor-Singapura akan dibuka dalam masa terdekat sekiranya sistem kemasukan terhad iaitu sistem Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), berjalan lancar dan berjaya.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata isu sempadan adalah perkara yang membabitkan hubungan dua hala antara negara dikendalikan kerajaan Persekutuan selain memerlukan perbincangan teliti sebelum mencapai kata putus.

Katanya, sejak sistem kemasukan RGL dan PCA dibuka 17 Ogos hingga setakat 31 Ogos lalu, seramai 8,597 individu menggunakan inisiatif kedua skim berkenaan.

"Sehingga 31 Ogos 2020, sejumlah 327 orang menggunakan sistem RGL yang mana 45 keluar dari negeri ini dan 282 pula masuk ke Johor Bahru. Manakala sejumlah 8,270 individu lagi menggunakan sistem PCA yang membabitkan 6,784 individu keluar dan 1,486 masuk.

"Sekiranya sistem ini berjaya. Saya yakin, kerajaan Persekutuan akan membuka pintu sempadan Johor-Singapura dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang terancang dan berkesan.

"Bagi memastikan SOP yang dirancang dapat dipatuhi dan dilaksanakan dengan baik, kerajaan negerimengambil langkah proaktif dengan menyelaras pembabitan agensi yang berada di barisan hadapan, termasuk mampu membuat pemeriksaan Covid-19 dengan kapasiti 2,000 individu yang masuk sehari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Andrew Chen (DAP-Stulang) pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Hasni berkata, penutupan sempadan Johor-Singapura memberi kesan langsung terhadap ekonomi Johor.

Katanya, dianggarkan lebih 50 peratus daripada perbelanjaan pelancong asing yang menjadi penyumbang utama sektor perniagaan di Johor, kini menyusut berikutan penutupan sempadan.

"Kerajaan negeri juga sudah membelanjakan hampir RM500,000 untuk selaraskan perkhidmatan sama ada perkhidmatan pengamal perubatan, makmal-makmal kerajaan mahupun makmal milik swasta supaya membolehkan RGL dan PCA dapat menyaring dan menjalankan ujian untuk kemasukan 2,000 orang sehari," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 2:59 PM