Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kawasan Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Tawau di Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

Perintah itu akan berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam ini sehingga 25 September depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan membabitkan banduan, 114 anggota dan 355 ahli keluarga Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Tawau.

Beliau berkata, ia diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam selepas mengambil kira penularan kes jangkitan positif Covid-19 di lokaliti itu.

"Anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan saringan terhadap semua yang berada di lokaliti itu.

"Pergerakan keluar masuk penjara adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPD Secara Pentadbiran, ini termasuk pelawat dan ahli keluarga," katanya.

ISMAIL Sabri
ISMAIL Sabri

Beliau berkata demikian dalam sidang media hari ini mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pemulihan (PKP) hari ke-177 dan hari ke-93 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Kelmarin, kes Covid-19 melonjak ke angka tiga digit iaitu 100 kes dicatatkan dan sebanyak 62 kes daripadanya dalam tempoh 24 jam membabitkan kluster penjara di Tawau dan Lahad Datu.

Ismail Sabri berkata, penduduk di Tawau tidak perlu khuatir kerana keadaan di luar Penjara Tawau akan seperti biasa.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 3:05 PM