GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah, di sini, diarahkan tutup 14 hari bermula esok sehingga 25 September depan.

Difahamkan, empat sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, SK Jambatan Putih, SK Kukusan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jambatan Putih.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran ketika dihubungi mengesahkan arahan penutupan itu sebagai langkah pencegahan Covid-19 susulan penularan wabak itu di Penjara Tawau.

"Semua sekolah terbabit diarah tutup selama 14 hari berkuat kuasa serta-merta mulai esok, 11 September sehingga 25 September depan," katanya.

Sejak petang hari ini, tular di media sosial surat berkaitan penutupan sekolah berkenaan yang dipercayai diedarkan kepada ibu, bapa dan penjaga murid sekolah berkenaan.

Menurut surat itu, arahan penutupan atas nasihat Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, ibu bapa juga diminta merujuk makluman di kumpulan Whatsapp kelas anak masing-masing bagi memastikan akses pembelajaran murid terus berjalan melalui kaedah pembelajaran secara dalam talian yang akan diaktifkan.

Terdahulu Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, pada sidang medianya hari ini, berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Pentadbiran) yang dilaksanakan di Penjara Tawau, berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini sehingga 25 September depan.

Katanya, ia membabitkan banduan dan 114 anggota serta 355 ahli keluarga Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara, di sini, yang kesemuanya akan menjalani ujian saringan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 9:44 PM