PREMIS yang dijadikan sarang pelacuran diserbu dalam operasi itu. FOTO ihsan polis
PREMIS yang dijadikan sarang pelacuran diserbu dalam operasi itu. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tawar harga RM80 untuk perkhidmatan seks bagi tempoh 30 minit. Itu tawaran sindiket pelacuran wanita warga asing yang dipercayai beroperasi sejak Mac lalu.

Kegiatan itu terbongkar dalam serbuan dilakukan di dua premis di Jalan Kuchai Lama, di sini, menerusi Operasi Noda (Ops Noda) oleh Pasukan Khas Jabatan Sistem Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur jam 5.30 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menahan 10 wanita Indonesia dan Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelacur di dua premis berkenaan.

"Kami turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 56 tahun yang dipercayai bekerja sebagai penjaga serta tiga lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis terbabit.

"Selain itu, kami merampas 78 kondom, 17 jadual kerja, wang tunai berjumlah RM1,180 serta beberapa barang lain yang digunakan untuk kegiatan pelacuran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua premis berkenaan beroperasi bermula jam 12 tengah hari hingga 3 pagi setiap hari.

"Semua urusan langganan dilakukan melalui mesej di aplikasi WeChat, Michat dan WhatsApp. Menurut penjaga yang ditahan, mereka tidak tahu mengenai kadar sewa bulanan premis terbabit memandangkan ia diuruskan oleh pengurus dikenali dengan nama panggilan Sam.

"Pelanggan yang terdiri dari lelaki warga tempatan serta warga asing dikenakan kadar bayaran RM80 bagi tempoh setengah jam setiap kali melakukan seks," katanya.

Beliau berkata, semua pelacur yang menetap di premis terbabit pula menerima gaji sebanyak RM30 untuk setiap pelanggan mereka.

"Dianggarkan sindiket itu menerima antara 20 hingga 30 pelanggan sehari bagi setiap premis berkenaan.

"Selain perkhidmatan seks, khidmat urutan batin juga ditawarkan kepada pelanggan dengan bayaran sama iaitu RM80 untuk sekali perkhidmatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) (c) akta sama.

"Semua individu yang ditahan serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 12:09 PM