Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memandang serius berhubung isu sekumpulan individu menunggang basikal di lokasi tidak sepatutnya sehingga boleh membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan raya lain.

Ini berikutan tular beberapa gambar sekumpulan penunggang basikal yang menggunakan laluan di tengah jalan raya yang sibuk di Rasah Kemayan di Seremban, Negeri Sembilan di media sosial kelmarin.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, meskipun isu terbabit di luar bidang penguatkuasaan undang-undang JPJ, namun pihaknya bersedia bekerjasama dengan beberapa agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu berkenaan secara lebih holistik.

"Kita tidak boleh menyaman mereka kerana dalam konteks undang-undang, basikal bukan tergolong dalam kenderaan yang sepatutnya berada di jalan raya yang boleh dicukai dan bukan kenderaan yang boleh dikuatkuasakan oleh JPJ.

"Namun begitu, kita sedang bekerjasama dengan polis untuk kita selaraskan keadaan ini," katanya selepas merasmikan Pusat Kawalan Penguat Kuasa Lebuhraya (UPLR) Pertama di Lebuhraya di Bangunan Plaza Tol (Lama) Jelapang (arah selatan) di Kilometer 268 Lebuhraya Utara-Selatan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.

GAMBAR yang tular di media sosial. FOTO tular media sosial
GAMBAR yang tular di media sosial. FOTO tular media sosial

Shaharuddin berkata, basikal berada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mewujudkan lorong bersesuaian.

"Sekarang ini terlampau banyak (isu) mereka yang berbasikal seperti basikal lajak dan sebagainya. Jadi, dalam konteks memastikan lebuh raya atau jalan raya digunakan secara berhemah maka JPJ akan memberikan pendidikan dan advokasi kepada pengguna jalan raya yang berbasikal," katanya.

Baru-baru ini, seorang pengguna jalan raya memuatnaik status di Facebook (FB) yang mendakwa tindakan sekumpulan individu menunggang basikal di jejambat Rasah Kemayan yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 3:33 PM