PROF Madya Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim. FOTO FB Khairy Jamaluddin
PROF Madya Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim. FOTO FB Khairy Jamaluddin
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Sekumpulan saintis tempatan menghasilkan kit ujian pantas atau 'rapid test kit' pertama di dunia yang mempunyai ketepatan sama dengan ujian dilakukan di makmal.

Inovasi dihasilkan kumpulan saintis diketuai Prof Madya Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim, iaitu rakyat Malaysia pertama melancarkan alat sensor deria agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) bagi mengukur dan memantau organisma satu sel di angkasa.

Kumpulan saintis berkenaan turut tersenarai sebagai antara 15 finalis bagi Anugerah Komuniti anjuran universiti berprestij Amerika Syarikat (AS), Massachusetts Institute of Technology (MIT) - MIT Solve Challenge.

MIT Solve Challenge adalah platform pemasaran bagi inovasi impak sosial dari seluruh dunia serta peluang bagi usahawan teknologi mengembangkan potensi mereka.

Wan Wardatul Amani berkata, kit ujian pantas dihasilkannya itu mampu mengesan Covid-19 menggunakan air liur walaupun kepekatan cecair itu hampir 100 peratus kurang berbanding darah.

Malah, anak kelahiran Pulau Pinang itu turut mengakui, inovasi dihasilkannya mampu mengesan Covid-19 walaupun air liur individu terbabit tidak mengandungi banyak virus lain pada kadar lebih murah dan cepat.

Katanya, projek itu asalnya adalah cubaan untuk membangunkan alat bacaan glukos lebih baik yang mampu mengesan kandungan gula melalui air liur.

"Inovasi ini bermula apabila saya dengan usaha sama Malaysian Relief Agency (MRA) membangunkan sensor untuk mengesan bakteria berbahaya digunakan ketika kejadian banjir di Kuala Krai, Kelantan pada 2014.

"Bagaimanapun, kumpulan saya mula memikirkan idea untuk bantu memerangi Covid-19, ketika wabak itu melanda seluruh negara. Daripada situ kami cuba inovasikan teknologi digunakan bagi saringan Covid-19," katanya ketika dihubungi BH, malam ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif nanoSkunkWorkX Sdn Bhd, Iqbal Shamsul berkata, pihaknya kini sedang mencari dana untuk memasarkan alat berkenaan, selain menyasarkan Malaysia sebagai hab inovasi terbabit.

Selain itu, beliau turut berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi membentangkan hasil inovasi berkenaan.

"Kita masih lagi menunggu maklum balas daripada National Technology & Innovation Sandbox (NTIS), selain mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang menolak permohonan kami.

"Kita berharap Malaysia mampu menjadi hab penghasilan alat ini kerana ia adalah hasil inovasi anak tempatan, selain sensor strip bagi alat ini boleh dijual pada harga kurang RM4, jika ia dipasarkan secara meluas nanti," katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di Facebooknya menjelaskan, pihaknya bangga dengan pencapaian kumpulan saintis tempatan berkenaan.

"Wan Wardatul Amani dan pasukannya kini menerajui sebuah penyelesaian dengan menghasilkan Hybrid Rapid Test Kit dengan elemen teknologi nano bagi melakukan ujian saringan Covid-19 di mana-mana sahaja dengan mudah dan berkesan.

"Sehingga hantaran ini ditulis, Wan Wardatul Amani mendahului pasukan lain bagi memenangi anugerah ini. Bagaimanapun, mereka masih memerlukan undian anda semua bagi memastikan kejayaannya dengan baki beberapa hari lagi sebelum undian ditutup," katanya.

Undian boleh dibuat dengan mendaftar masuk di https://solve.mit.edu/challenges/health-security-pandemics/solutions.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 11:57 PM