WANITA yang melarikan diri bersama teman lelakinya. FOTO ihsan polis
WANITA yang melarikan diri bersama teman lelakinya. FOTO ihsan polis
Roselan Ab Malek


Raub: Polis sedang memburu seorang wanita yang berjaya meloloskan diri pada 4.30 petang semalam selepas selesai sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini.

Wanita itu dilaporkan lari bersama teman lelakinya dengan menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, ketika kejadian anggota polis wanita bertugas mengiringi 12 orang kena tahan (OKT) naik ke lori polis untuk di bawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub petang semalam dan seorang daripadanya adalah wanita.

"Semasa sedang memerhatikan OKT menaiki lori, tiba-tiba datang seorang lelaki Melayu menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna hitam dari arah belakang anggota polis dan terus berhenti di tepi OKT wanita terbabit.

"OKT wanita itu kemudian melompat ke atas motosikal dan penunggang (motosikal) terus memecut laju meninggalkan perkarangan parkir mahkamah," katanya.

Menurutnya, anggota polis mengejar motosikal terbabit namun gagal menghalang pasangan ituy melarikan diri disebabkan dia terjatuh.

"OKT wanita itu melarikan diri dalam keadaan kedua tangannya masih bergari," katanya.

Kama Azural berkata, OKT wanita tersebut dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 39C (1) ADB 1952.

"Wanita berusia 23 tahun itu dan berasal dari Kampung Ulu Lepar Dong, Raub itu sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Raub semalam dan mengaku tidak bersalah dan sebutan semula kes pada 29 September depan," katanya.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti teman lelaki wanita itu yang berasal Kampung Pulau Kabong Budu, Benta, Lipis.

"Usaha mengesan pasangan itu sedang giat dijalankan dan keluarga mahupun orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 9:07 AM