Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Lima lagi kerbau milik Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' mati pagi ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kerbau yang mati sebanyak 41 ekor.

Bapanya, Khamis Jusoh, 64, berkata, dia tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat ibu kerbau yang sedang menyusu anak mati kerana penyakit itu.

"Sedih melihat ibu kerbau yang baru melahirkan anak sebulan lalu mati pagi ini.

"Menitis air mata saya tengok anak kerbau terpinga-pinga melihat ibunya tidak bernyawa.

"Saya buntu memikirkan cara untuk menyelamatkan kerbau yang masih hidup dan mempunyai tanda-tanda penyakit itu," katanya ketika ditemui di kandang kerbau miliknya, hari ini.

Khamis berkata, dia cuma berharap lebih 50 kerbau yang masih hidup itu dapat diselamatkan.

"Kalau boleh nak selamatkan kerbau yang masih hidup, harap Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dapat berbuat sesuatu.

"Sekiranya kerbau yang ada tidak dapat diselamatkan apa boleh buat, semuanya kehendak Allah dan saya perlu reda," katanya.

Sementara itu Muhammad Syukur berkata, sebanyak lima kerbau lagi yang mempunyai tanda penyakit dan berkemungkinan akan mati.

MUHAMMAD Syukur sebak memerhati kerbau ternakannya mati mengejut, kelmarin. FOTO Ghazali Kori
MUHAMMAD Syukur sebak memerhati kerbau ternakannya mati mengejut, kelmarin. FOTO Ghazali Kori

"Lima kerbau mengalami simptom hawar berdarah (HS) seperti termenung, selesema dan lesu dan sedang menunggu untuk mati.

"Setakat ini kerbau kesayangan saya iaitu Tongkol, Baba, Semek dan Along masih tidak punyai tanda penyakit itu.

"Kerbau itu saya sudah alihkan 30 meter dari kandang utama dengan harapan kerbau itu dapat diselamatkan," katanya.

Menurutnya, dia hanya mampu berdoa supaya kerbau yang masih hidup itu dapat diselamatkan dan reda sekiranya semua kerbau ditakdirkan mati kerana HS.

Harian Metro semalam melaporkan lebih 30 daripada 110 kerbau milik Muhammad Syukur mati tiba-tiba kerana diserang Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah sejak Rabu lalu.

Berita berkaitan

Peminat jumpa 'Mowgli Malaysia' beri sokongan moral

''Syukur kena sabar, ada hikmah tersembunyi' - Menteri Agama'

'Kerbau 'Mowgli' mati kerana hawar berdarah [METROTV]'

'30 kerbau 'Mowgli' mati mengejut [METROTV]'


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 11:25 AM