Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) ketika hadir melawat di jeti Pangkor sempena Lawatan Kerja Perdana Menteri di Pulau Pangkor. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) ketika hadir melawat di jeti Pangkor sempena Lawatan Kerja Perdana Menteri di Pulau Pangkor. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Noor Hidayah Tanzizi


Pangkor: Kerajaan Perak masih berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan kebenaran pengecualian cukai kepada barangan dibeli pelancong yang menginap di Pulau Pangkor dalam tempoh 24 jam sahaja berbanding 48 jam, ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau berharap perkara itu dapat diputuskan secepat mungkin sekali gus bole menarik lebih ramai pelancong ke pulau itu.

"Pangkor bukan pulau yang besar sangat dan kita tidak mempunyai bilik (hotel) yang banyak. Pada ketika ini saya kira aktiviti di Pangkor memadai untuk pelancong tinggal sehari sahaja.

"Jika letak kelayakan 48 jam kemasukan (pelancong) tidak begitu tinggi, (tetapi) yakin apabila kerajaan persekutuan boleh kenalkan (tempoh) hanya 24 jam, itu akan menarik lebih ramai pelancong untuk tinggal di sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri sudah membawa perkara itu kepada kementerian berkaitan, namun masih belum ada keputusan mengenainya.

"Justeru, hari ini dalam mesyuarat saya bawa (sekali lagi) cadangan berkenaan dan berharap ia mendapat kelulusan," katanya.

Pulau Pangkor, destinasi pelancongan terkemuka di Perak mencipta sejarah apabila diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai (PBC) berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pengisytiharan rasmi status Pulau Pangkor sebagai PBC dijangka disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 4:26 PM