Saipul Adli Mohamad


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan teragak-teragak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan catat kes baharu Covid-19 tinggi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat diingatkan supaya terus berwaspada, tidak leka, serta mematuhi peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian pelitup muka dan prosedur operasi standard (SOP) yang masih berkuat kuasa.

Beliau berkata, orang ramai mesti terus berdisiplin dan patuh kepada peraturan kerana ia adalah elemen penting untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

"Selain itu, saudara dan saudari mestilah kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan.

"Elakkan bersalaman atau bersentuhan. Jika saudara dan saudari berada di tempat awam atau di tempat sesak, pakailah pelitup muka.

"Jangan berasa janggal atau kekok untuk memakainya. Pemakaian penutup hidung dan mulut menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita.

"Kini, kita semua mesti memainkan peranan sebagai 'petugas barisan hadapan' dengan terus mengamalkan norma baharu dalam kehidupan," katanya menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri - Situasi Semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung, malam ini.

PENGUNJUNG restoran, Muhammad Rushdi Roslli, 30, mendengar Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi telefon di Kuala Lumpur, malam ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PENGUNJUNG restoran, Muhammad Rushdi Roslli, 30, mendengar Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi telefon di Kuala Lumpur, malam ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Muhyiddin berkata, orang ramai mesti segera mendapatkan rawatan jika mempunyai gejala seperti demam, batuk atau sukar untuk bernafas.

Menurutnya, tanpa rawatan spesifik dan vaksin berkesan serta selamat untuk menangani penularan jangkitan Covid-19, pembudayaan norma baharu sedang amalkan pada waktu ini adalah suatu langkah amat kritikal.

"Saya berharap norma baharu ini akan menjadi kelaziman dalam kehidupan seharian kita semua. Ini kerana Malaysia masih berada dalam peperangan menentang Covid-19.

"Dalam situasi ini, disiplin dan pematuhan masyarakat terhadap peraturan dan SOP ditetapkan amat penting untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Matlamat kerajaan bukan hanya untuk melandaikan lengkuk penularan, tetapi memastikan wabak jangkitan ini dapat dikawal untuk suatu tempoh panjang," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 8:44 PM