SUSPEK lelaki dan wanita yang ditahan selepas dikejar lapan kilometer kerana membawa dadah. FOTO ihsan polis
SUSPEK lelaki dan wanita yang ditahan selepas dikejar lapan kilometer kerana membawa dadah. FOTO ihsan polis
Rosli Ilham


Chukai: Polis menahan pemandu dan penumpang sebuah kereta dan merampas 1,000 biji pil kuda selepas mengejar kenderaan itu sejauh lapan kilometer di Bandar Baru Kerteh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.25 petang, kedua-dua suspek ditahan itu adalah lelaki berusia 32 tahun dan wanita berusia 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pada mulanya polis menerima maklumat berhubung kes penjualan dadah berlaku di kawasan Kerteh.

Menurutnya, sebuah kereta peronda polis (MPV) yang ditugaskan ke lokasi kejadian terserempak dengan kereta dinaiki suspek di kawasan Batu Putih dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek memecut kereta terbabit dan memandu dalam keadaan bahaya.

"Ketika dikejar, anggota polis beberapa kali meminta pemandu kenderaan terbabit berhenti, namun suspek terus memecut untuk meloloskan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanyan berkata, suspek memandu dalam keadaan bahaya dan turut melanggar empat kenderaan awam sebelum mereka ditahan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui lima paket plastik mengandungi 1,000 biji pil dipercayai pil kuda yang dianggarkan bernilai RM20,000.

"Kami percaya suspek ke kawasan terbabit untuk menjual dadah terbabit dan semakan mendapati suspek lelaki itu ada rekod lampau berhubung kesalahan dadah.

"Kami sedang menyiasat hubungan kedua-dua suspek dan mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman untuk perintah tahanan reman.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 9:34 PM