SUHARNIZAN (tengah) ditemani Mohd Rasheed (kanan) selepas membuat laporan polis. FOTO Nurul Amanina Suhaini
SUHARNIZAN (tengah) ditemani Mohd Rasheed (kanan) selepas membuat laporan polis. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Wanita membuat laporan polis semalam, susulan dipercayai dihina personaliti media sosial (influencer) terhadap bentuk fizikalnya menerusi Facebook (FB) secara langsung.

Suharnizan Md Sidek, 37, yang juga Pesuruhjaya Sumpah mendakwa personaliti itu mengeluarkan kata-kata kesat termasuk memaparkan gambarnya beserta anaknya tanpa pengetahuan dan kebenaran pihaknya selepas dia meninggalkan komen di ruangan komen media sosial personaliti terbabit.

Katanya, insiden yang berlaku kira-kira jam 10 pagi, 18 Ogos lalu, dipercayai bermula apabila dia menulis komen 'live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?' menerusi video secara 'live' yang dikongsikan rakannya di laman terbabit.

"Selepas komen itu, saya menyambung kerja pejabat saya dan tidak mengikuti video berkenaan. Kemudiannya, saya dimaklumkan rakan bahawa dalam video itu diri saya ditularkan.

"Apabila saya menyemak dan meneliti, saya mendapati individu berkenaan dengan sengaja melakukan perkara itu tanpa kebenaran mahupun pengetahuan saya. Saya tidak mengambil apa-apa tindakan ketika itu dan mengharapkan perkara ini mati dengan sendirinya.

"Namun, pada 14 September (semalam), saya dimaklumkan terdapat satu paparan video yang dimuatnaik dan dikongsikan di media sosial... dengan kandungan video selama lapan minit memaparkan antara lain menghina rupa fizikal saya sehingga tular mencapai ribuan pautan serta komen," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Suharnizan berkata, selain paparan tular sehingga ke YouTube, dia mendakwa terdapat juga pihak tidak dikenali cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan imejnya iaitu mewujudkan FB dan 'Page' palsu atas namanya.

"Saya mengalami tekanan, trauma, menerima mesej peribadi tanpa henti, selain kemurungan dan gangguan emosi termasuk di tempat kerja. Saya kemudiannya mendapatkan nasihat peguam yang menyarankan tuntutan sivil dibuat terhadap individu itu," katanya.

Dalam pada itu, peguamnya, Mohd Rasheed Hassan berkata, pihaknya sudah menghantar notis tuntutan sivil kepada personaliti itu, yang mana merangkumi permohonan maaf secara terbuka dan membayar kos pampasan serta ganti rugi dalam tempoh 14 hari.

Katanya, pihaknya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat kerana 'body shaming' atau sindir badan boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun, denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) menerusi maklum balas mengenai laporan polis yang dibuat pihak Suharnizan berkata, kes berkenaan dalam semakan dan akan disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 11:18 AM