Mazlan Bujang.
Mazlan Bujang.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan bekerjasama dengan polis bagi menyiasat 177 pelajar negeri ini yang dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama pihak polis bagi membanteras kegiatan itu.

"Kita tiada masalah (polis menyiasat kes ini), tetapi pendekatan kita (JPN Johor) dengan polis adalah berbeza.

"Kita lebih kepada usaha mendidik, maknanya bila terbabit bukan kita hukum tetapi halang daripada bertambah teruk.

"Perspektif polis berbeza, mereka nak banteras dari mana dadah diperoleh, itu bidang kuasa mereka dan kita tidak halang," katanya ketika ditemui pada Pertandingan Blok Tercantik Sempena Kempen Bulan Kemerdekaan ke-63 PPR Taman Desa Mutiara, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya turut meminta pihak sekolah tidak menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar daripada pihak berwajib.

"Siasatan ini kita buat secara dalaman, nama sekolah terbabit pun dirahsiakan," katanya.

Mazlan sebelum ini mendedahkan seramai 177 pelajar tingkatan empat dan lima dikesan terbabit gejala penagihan dadah di negeri ini.

Ia dikesan menerusi ujian saringan air dijalankan terhadap 10,132 pelajar di 280 sekolah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 5:37 PM