Rahmad Mariman menunjukkan perangkap lalat digunakan anggota komuniti di Kampung Kelemak, Alor Gajah.
Rahmad Mariman menunjukkan perangkap lalat digunakan anggota komuniti di Kampung Kelemak, Alor Gajah.
Hassan Omar


Alor Gajah: Ratusan penduduk Kampung Kelemak, di sini, gelisah apabila kawasan perkampungan itu 'diserang' ribuan lalat yang menghurungi kediaman mereka sejak seminggu lalu.

Susulan itu Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri menjalankan siasatan berhubung punca serangan lalat yang menjejaskan kehidupan seharian penduduk.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman berkata, beliau menerima aduan penduduk kampung berhubung kehadiran ribuan lalat.

"Penduduk mendakwa kehidupan mereka menjadi tidak selesa susulan serangan ribuan lalat terutama ketika sedang makan dan tidur.

"Saya meminta pegawai dan kakitangan kedua-dua agensi itu supaya menjalankan siasatan bagi mencari punca kehadiran begitu banyak lalat sebelum mengambil tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Beliau ditemani pegawai kedua-dua jabatan meninjau keadaan anggota komuniti di kampung itu yang terpaksa mengeluarkan kos membeli perangkap lalat.

Selain mendapatkan penjelasan daripada anggota komuniti, Rahmad turut meninjau lokasi yang dipercayai dijadikan tempat pembuangan sampah.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada kejadian itu berpunca akibat sektor pertanian atau penternakan yang dimajukan di kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 6:12 PM