MUHAMMAD Sanusi (dua kanan) mendengar taklimat daripada Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Kapten (PA) Md Zain Baharum mengenai pergerakan pengagihan bantuan makanan di Kota Setar. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Sanusi (dua kanan) mendengar taklimat daripada Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Kapten (PA) Md Zain Baharum mengenai pergerakan pengagihan bantuan makanan di Kota Setar. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Kota Setar menerima 1,065 permohonan bantuan makanan daripada penduduk yang terputus bekalan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran sejak Jumaat lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat hari ini sebanyak 203 bakul makanan sudah diagihkan kepada pemohon dan penghantaran itu akan dilakukan secepat mungkin.

Katanya, kerajaan negeri turut menambah 10 pacuan empat roda menjadikan jumlah keseluruhan 22 kenderaan bagi melancarkan lagi proses penghantaran ke rumah pemohon.

"Kita menerima banyak panggilan yang memohon bantuan makanan menerusi talian hotline tapi kita kesan terdapat panggilan daripada luar kawasan PKPD Kota Setar, ada juga suami dan isteri buat permohonan yang sama.

"Jadi kita perlu tapis permohonan ini agar yang layak saja menerima bantuan, kita tak mahu berlaku pertindihan bantuan, sasaran kita kepada mereka yang benar-benar terputus bekalan makanan terutama mereka yang berpendapatan harian seperti penjaja kecil dan pembantu kedai bergaji hari," katanya selepas melawat dan mendengar taklimat di PKOB daerah Kota Setar di Pejabat Daerah Kota Setar, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya turut meminta 28 penghulu mukim memainkan peranan menyalurkan maklumat mengenai penduduk yang terjejas.

Katanya, ini kerana kerajaan negeri tidak mahu penduduk terjejas panik dan merasakan mereka tersisih daripada bantuan.

"Sekarang ini saya lihat ramai yang menggunakan media sosial untuk membuat provokasi mengenai bantuan tak dapat dan sebagainya tapi apabila kita semak mereka ini ada yang menggunakan akaun palsu dan bukannya penduduk Kota Setar.

"Mereka seperti mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan kerajaan sedangkan kita menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk membantu golongan yang terjejas," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut akan mencari jalan penyelesaian mengenai rungutan penduduk di Zon Melor di Amanjaya yang kehabisan wang tunai berikutan tidak dapat keluar ke kawasan yang mempunyai mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama agensi berkaitan sentiasa peka dan akan cuba mencari alternatif terbaik bagi membantu penduduk di kawasan PKPD di negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 8:26 PM