Sarah Abdullah

Beaufort: Kerajaan hari ini bersetuju menaikkan semula kadar Elaun Sara Hidup Nelayan dari RM250 sebulan kepada RM300 sebulan, bagi mengurangkan beban golongan itu yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, RM21.1 juta diperuntukkan bagi pembayaran elaun itu yang akan memanfaatkan 7,581 nelayan.

"Semasa PH mentadbir negara, Parti Warisan Sabah (WARISAN) sebahagian daripada PH dan Elaun Sara Hidup nelayan sebanyak RM300 dipotong menjadi RM250.

"Hari ini, saya umumkan, kita kembalikan semula bayaran tunai RM300 setiap bulan, supaya dapat meringankan beban yang ditanggung sektor perikanan," katanya pada Majlis Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah serta Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma, di sini, hari ini.

MUHYIDDIN pada Majlis Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah. FOTO Sarah Abdullah
MUHYIDDIN pada Majlis Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah. FOTO Sarah Abdullah

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun dan calon Perikatan Nasional (PN) DUN Klias Datuk Isnin Aliasnih.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan bantuan khas, khususnya untuk kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, di bawah Skim Subdisi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma berjumlah RM40.34 juta.

Selain itu, beliau turut mengumumkan kadar dividen sebanyak 8.1% bagi Dana Peladang Kebangsaan untuk tahun 2019, dengan keseluruhan agihan dividen sebanyak RM7.7 juta.

Agihan itu diberikan selepas Dana Peladang Kebangsaan di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah memperolehi keuntungan sebanyak RM9.3 juta bagi tahun 2019.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 12:00 PM