Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kimia bagi meneliti mekanisme terbaik untuk mengenal pasti pelitup muka perubatan tiruan serta tidak mengikut piawaian di pasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia susulan ujian secara rawak dilakukan terhadap beberapa produk pelitup muka perubatan tiga lapisan di pasaran mendedahkan ada antaranya langsung tidak mempunyai bahagian penapis dalaman (filter).

Katanya, ia sekali gus menimbulkan kebimbangan kerajaan terhadap jangkitan wabak Covid-19 jika masyarakat tidak menyedari menggunakan pelitup muka tidak mengikut piawaian atau tiruan.

"Kita ada membuat ujian rawak terhadap beberapa produk pelitup muka perubatan tiga lapisan dengan alat khas hari ini, dan hasilnya ada pelitup muka perubatan yang seperti produk asli penampilannya, namun ia sebenarnya tidak mempunyai bahagian penapis dalaman (filter) langsung.

"Malah ujian lanjut dilakukan ia langsung tidak mampu menapis habuk apatah lagi kuman walaupun baru digunakan berbanding pelitup muka perubatan tiga lapisan yang asli yang mempunyai daya tahan tinggi dan tidak ditembusi partikel berbahaya di bahagian dalamannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kilang Pelitup Muka Durio, di sini, hari ini.

ROSOL Wahid (kanan) melawat kawasan kilang pelitup muka sambil diberi penerangan oleh Pengarah Urusan Durio, Quek See Kui (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke Syarikat Durio Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Temenggong, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
ROSOL Wahid (kanan) melawat kawasan kilang pelitup muka sambil diberi penerangan oleh Pengarah Urusan Durio, Quek See Kui (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke Syarikat Durio Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Temenggong, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Chong Fat Full.

Rosol berkata, pihaknya juga mempertimbangkan keperluan untuk memperluas atau mewajibkan alat serta mesin khas ujian pelitup muka yang ketika ini hanya ada dua dalam negara, iaitu di KKM dan sebuah kilang, di sini.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia kini mempunyai 15 kilang pelitup mula dengan kapasiti pengeluaran 100 juta keping sebulan.

"KPDNHEP menyarankan rakyat membeli dan menggunakan produk pelitup muka perubatan keluaran negara bagi memastikan kualitinya tidak dikompromi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 4:01 PM