Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Bapa kepada seorang daripada empat sahabat yang dipercayai lemas karbon monoksida di stesen minyak di Sama Gagah di Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini, menemui kesemua mangsa sudah tidak sedarkan diri dalam kenderaan dinaiki pada pagi hari ini.

Bapa Ayuni Shazwanie Shabri, 21, dikatakan keluar mencari anaknya itu selepas bimbang mangsa masih tidak sampai di rumah pada 11 malam selepas menghantar mesej kepada ibunya pada 9.15 malam.

Ketika tiba di stesen minyak berkenaan didapati enjin kereta dinaiki empat sahabat itu masih hidup dan kesemua mereka sudah tidak sedarkan diri sebelum dia menghubungi petugas perubatan.

Dalam kejadian pada itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Ayuni Shazwanie meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Dua lagi rakannya, Nor Adilah Mohd Safwan dan kembarnya, Nor Aqilah yang berusia 21 tahun kritikal dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Mereka dikatakan berhenti rehat di stesen minyak berkenaan sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan awal mendapati empat sahabat yang belajar dalam jurusan farmasi di sebuah kolej dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas pergi ke Pulau Jerejak.

Menurutnya, semakan yang dilakukan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kereta yang dinaiki keempat-empat mangsa masuk ke stesen minyak terbabit pada 8.30 malam.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita berkaitan

Kebocoran ekzos disyaki punca tragedi

Seorang lagi mangsa keracunan karbon monoksida maut

Pemandu pening kepala, muntah

2 sahabat maut, 2 kritikal lemas karbon monoksida

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 4:37 PM