GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Erika George


Tatau: Dua individu dikhuatiri lemas ketika memancing di Kuala Serupai selepas tidak pulang sejak petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Denis Bunyam berkata, kedua-dua mangsa, Kinminsna Kassim, 58, dan pekerjanya, Pendi Salim, 38, warga Indonesia keluar memancing sekitar jam 5.30 petang menuju ke kawasan Plat Form Temana A.

"Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, ahli keluarga mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tatau pada 10.49 pagi tadi selepas mangsa tidak pulang ke rumah," katanya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, Kinminsna dan Pendi keluar memancing kawasan Form Temana A.

Denis berkata, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) segera diaktifkan di Jeti Kuala Serupai bagi menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

"SAR pada hari pertama, mensasarkan pencarian di sekitar kawasan muara Sungai Serupai dengan menggunakan teknik "surface searching," ujarnya

Operasi SAR disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tatau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan penduduk rumah panjang dan pencarian akan disambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 9:58 PM