Anggota bomba menyelamatkan seekor kucing dalam kebakaran membabitkan sebuah pusat tahfiz di Lorong Alif. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Anggota bomba menyelamatkan seekor kucing dalam kebakaran membabitkan sebuah pusat tahfiz di Lorong Alif. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Enam pelajar Maahad Tahfiz Darul Ulumarrahimiyah Lorong Alif di sini, selamat dalam kebakaran membabitkan tingkat atas sebuah daripada blok bangunan dua tingkat maahad berkenaan, jam 1.20 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, seorang pelajarnya, Mubasyir Yusoh, 16, cedera pada tangan akibat terkena serpihan kaca ketika memecahkan penutup kaca penggera keselamatan untuk membunyikan loceng kecemasan bagi membolehkan pelajar menyelamatkan diri.

Ketika kejadian, hanya enam pelajar ada di bangunan berkenaan dan baki 46 lagi pelajar lelaki berusia 12 tahun hingga 20 tahun, daripada keseluruhan 70 pelajar, menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqla.

Guru maahad tahfiz berkenaan, Amar Maruf Ahmad, 41, dia sedang menunaikan solat Jumaat apabila terdengar siren jentera bomba.

"Selesai solat, ada jemaah mengatakan maahad tahfiz terbakar. Kami terus bergegas untuk memastikan pelajar selamat.

"Syukur kerana enam pelajar berusia 10 hingga 16 tahun yang tinggal di maahad tahfiz selamat. Cuma Mubasyir yang cedera ditangan ketika berusaha membunyikan loceng kecemasan," katanya.

Menurut Amar Maruf, lima daripada pelajar berkenaan, berusia 10 hingga 12 tahun, tidak dapat ke masjid kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana tidak cukup umur untuk masuk ke masjid manakala Mubasyir pula tidak sihat.

Katanya, maahad tahfiz itu dibuka pada 1990 dan menempatkan 70 pelajar lelaki dari seluruh negeri.

"Bagaimanapun, ketika kejadian, sebahagian pelajar yang tinggal di kawasan berhampiran pulang ke kediaman keluarga masing-masing.

"Maahad tahfiz ini mempunyai enam tenaga pengajar termasuk dari Pakistan dan Kemboja," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 1.23 tengah hari.

"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Che Kob Che Dan tiba di lokasi jam 1.27 tengah hari.

"Operasi disertai 22 anggota dan empat jentera dari BBP Alor Setar. Api dapat dikawal jam 1.41 tengah hari," katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 6:30 PM