ABD Rahim (tengah) melihat hasil kreativiti yang diperbuat daripada bahan terbuang pada Program World Clean Up Day 2020 peringkat Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang
ABD Rahim (tengah) melihat hasil kreativiti yang diperbuat daripada bahan terbuang pada Program World Clean Up Day 2020 peringkat Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan Pahang masih mengekalkan tempoh operasi premis perniagaan di seluruh negeri itu setakat 12 tengah malam, dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, setakat ini, tiada perubahan waktu operasi premis perniagaan untuk melanjutkan tempoh operasi.

Beliau berkata, keputusan itu tepat kerana membantu mengawal penularan wabak Covid-19 dan Pahang kini berada dalam status hijau iaitu tiada kes.

"Oleh itu, prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membabitkan premis perniagaan sentiasa dipantau.

"Penguatkuasaan dilakukan untuk memastikan pemilik premis perniagaan dan masyarakat mematuhi SOP ditetapkan terutama pemakaian pelitup muka dan pemeriksaan suhu badan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program World Clean Up Day 2020 peringkat negeri di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Lepar di Jalan Kuantan-Gambang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Teknologi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Zulkifli Tambi Chik dan Pengarah SWcorp Pahang, Sharudin Hamid.

Mengenai penganjuran World Clean Up Day 2020, Abd Rahim berkata, penganjuran program itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bersih, indah dan sejahtera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 4:58 PM