Datuk Nazri Ngah (tiga dari kanan) melakukan gimik bagi pelancaran projek RRP di Dewan Tengku Azlan, Pulau Tawar. FOTO ROSELAN AB MALEK
Datuk Nazri Ngah (tiga dari kanan) melakukan gimik bagi pelancaran projek RRP di Dewan Tengku Azlan, Pulau Tawar. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek

[email protected]@bh.com.my

Jerantut: Kerajaan negeri akan membina 98 Rumah Rakyat Pahang (RRP) membabitkan peruntukan sebanyak RM6.37 juta, termasuk tujuh buah dibina di daerah ini bagi membantu golongan kurang berkemampuan mempunyai kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, pembinaan rumah berkenaan diagihkan mengikut empat kawasan di daerah ini.

"Dua rumah dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, DUN Tahan (2), DUN Damak (2)dan sebuah rumah dalam kawasan Parlimen Jerantut.

"Sebuah projek RRP bernilai RM65,000 akan dibina di tanah milik sendiri manakala kontraktor yang dipilih pula hanya dibenarkan membina satu rumah sahaja dan disyaratkan siap sepenuhnya dalam tempoh 10 minggu.

"Program RRP menzahirkan kesungguhan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk memberi keutamaan penduduk yang kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri," katanya.

Beliau berkata, tujuh rumah ini adalah sebahagian daripada 98 buah yang diluluskan oleh kerajaan negeri di seluruh Pahang,

"Penerimanya mestilah disahkan sebagai miskin tegar atau miskin, tidak mempunyai rumah atau sudah usang dan daif selain mestilah memiliki tanah sendiri atau mendapat kelulusan pemilik lain jika berkongsi tanah," katanya.

"Mereka yang terpilih harus mematuhi syarat yang telah ditetapkan iaitu pemilik tidak boleh menjual atau memajak rumah berkenaan kepada orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah bagi projek RRP daerah Jerantut di Dewan Tengku Azlan,di Pulau Tawar, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud dan Pegawai Daerah , Khairun Nissa Aris.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, berharap individu yang terpilih dapat manfaatkan pemberian kerajaan negeri ini dan kontraktor yang dilantik dapat melakukan kerja pembinaan dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 5:27 PM