Dr Zulkifli (tengah) ketika melancarkan program kembara asnaf bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Betis. FOTO Ramli Ibrahim
Dr Zulkifli (tengah) ketika melancarkan program kembara asnaf bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Betis. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Saudara baru dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kampung pedalaman di daerah ini memerlukan banyak lagi pendedahan berhubung Islam.

Ia bagi membaiki kehidupan kaum itu yang memerlukan bimbingan dalam usaha menjaga kesucian agama dan beralih kepada penghidupan baharu lebih mantap.

Penghulu Orang Asli Tanpa Mukim Kampung Kuala Betis, Jumaat Abak berkata, walaupun ramai kaum itu memeluk Islam sejak beberapa tahun lalu, kehidupan mereka tidak berubah terutama amalan berkaitan ilmu keagamaan dan pencerahan mengenai kehidupan lebih maju.

"Mereka masih hidup di tahap lama dan sekadar mengambil tahu pengisian hidup walaupun menyedari berpisah jauh daripada kaum lain di negara ini.

"Sehubungan itu, saya mengalu-alukan lebih banyak program berkaitan Islam diadakan di kampung kami supaya suasana hidup harmoni dapat diwujudkan.

"Ia termasuk usaha Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan mengadakan kembara asnaf saudara baharu Orang Asli selama tiga cukup yang membawa makna besar," katanya.

UiTM menyantuni 50 keluarga saudara baru Orang Asli Temiar yang memeluk Islam beberapa tahun lalu di Masjid Kampung Kuala Betis.

Program tiga hari itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Bahagian Zakat Sedekah dan Wakaf UiTM Shah Alam, Selangor.

Sementara itu, Rektor UiTM Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamad berkata, program itu memberi makna cukup besar khususnya kepada masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata, pihaknya membantu saudara baru kaum itu dengan menyampaikan zakat dan membimbing mereka mendalami Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 5:51 PM