MOHD Shafie. FOTO Arkib NSTP
MOHD Shafie. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Bongawan: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan ruang dan prosedur operasi standard (SOP) untuk pesakit Covid-19 mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu menjelaskan setiap rakyat berhak untuk mengundi walaupun dalam keadaan yang kurang sihat.

"Mereka (pesakit Covid-19) juga mempunyai hak untuk mengundi. Kalau ada yang didapati positif, kita minta supaya SPR sediakan ruang serta SOP supaya mereka boleh menunaikan tanggungjawab.

"Tidak bererti kalau mereka positif tidak boleh mengundi. Mana ada dalam Perlembagaan orang tidak boleh mengundi, orang sakit pun boleh mengundi dan bertugas di luar negara pun boleh mengundi secara pos," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat bertempat di Bongawan Plaza, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dilaksanakan di kawasan yang dikuarantin supaya hari mengundi dijalankan dalam kawasan yang terhad dan dikawal.

"Mereka perlu menunaikan tanggungjawab sekiranya dikuarantin di rumah dan sebagainya, mereka ada tempat dan SPR boleh sediakan tempat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 6:00 PM