Mohd Zahril Haikal Zaini menjadi model program pengurusan jenazah islam di Kompleks UMNO Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM
Mohd Zahril Haikal Zaini menjadi model program pengurusan jenazah islam di Kompleks UMNO Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: "Saya terkejut dan gementar apabila diminta menjadi model jenazah namun pada masa sama teruja kerana dapat berbuat demikian.

"Ketika berbaring dan kemudian dikafankan dalam demonstrasi itu, ada yang perasan reaksi wajah saya yang gementar dan cemas," kata Mohd Zahril Haikal Zaini, 19, dari Felda Pasoh Dua.

Bekas pelajar Kolej Vokasional Rembau itu antara peserta program pengurusan jenazah Islam yang dianjurkan Majlis Gabungan Belia Daerah Jelebu (MGBDJ) di Kompleks UMNO Jelebu, di sini, semalam.

Mohd Zahril Haikal berkata, ia pengalaman pertama menjadi model program seumpama apabila dia dipilih secara rawak oleh peserta lain.

Katanya, perasaannya itu bercampur baur kerana latihan mengkafankan jenazah dibuat mengikut cara sebenar.

"Ini pengalaman berharga serta memberi manfaat kepada saya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MGBDJ Mohd Azim Nasir berkata, seramai 65 peserta dari sekitar Jelebu hadir pada program terbabit.

"Program turut mendapat kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jelebu yang mengeluarkan sijil penyertaan kepada peserta," katanya.

Program dirasmikan Ahli Parlimen Jelebu yang juga Pengerusi UDA Holdings Datuk Jalaluddin Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 2:02 PM