AKTIVITI dalam pub/ kelab malam masih menjadi kesalahan tertinggi. FOTO Fail NSTP.
AKTIVITI dalam pub/ kelab malam masih menjadi kesalahan tertinggi. FOTO Fail NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 552 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam dengan 342 orang dikompaun, manakala 180 lagi direman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan dikesan adalah aktiviti dalam pub/kelab malam iaitu 363 individu, tiada penjarakan fizikal (81), tidak memakai pelitup muka (36) dan 17 kes keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Seramai 12 individu gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri, seorang dikesan keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan kukuh, premis beroperasi tanpa kebenaran (5), dan tangkapan warga asing tanpa dokumen perjalanan diri (7).

"Mengenai Operasi Benteng pula, seramai 6180 pendatang asing tanpa izin (Pati), seorang tekong dan lima penyeludup ditahan ketika cuba menyusup masuk ke dalam negara semalam, manakala lima kenderaan darat turut dirampas dalam operasi itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 89 sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berkenaan, membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, beliau berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 31,227 individu sudah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan semua mereka ditempatkan di 68 hotel serta lapan premis termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,673 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 22,483 individu dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 3:47 PM